Ringkasan
Read the full fact sheet- Jika keputusan mpox anda positif, seorang pegawai Local Public Health Unit (LPHU - Unit Kesihatan Awam Tempatan) akan menghubungi anda untuk memberi nasihat.
- Anda mungkin diminta untuk mengubah beberapa aktiviti harian demi mengurangkan risiko penyebaran mpox kepada orang lain.
- Bagi kebanyakan orang yang menghidap mpox, simptom dapat diuruskan dengan menjaga hidrasi (minum air selalu) dan mengambil ubat tahan sakit tanpa preskripsi.
On this page
Mpox (dahulu dikenali sebagai “monkey pox”) adalah penyakit yang disebabkan oleh virus cacar monyet. Penyakit ini merebak kebanyakannya melalui sentuhan kulit ke kulit pada ruam, lepuh dan kudis atau sentuhan dengan cecair tubuh orang yang menghidapnya. Mpox biasanya penyakit ringan dan kebanyakan orang pulih dalam masa beberapa minggu tanpa sebarang rawatan khusus.
Simptom mpox
- Ruam atau kudis: Boleh muncul di mana-mana bahagian tubuh, tetapi kerap kali di sekitar alat kelamin, dubur, mulut, tangan atau muka. Mungkin kelihatan seperti jerawat, ulser atau bisul. Bilangan lesion tidak tertentu. Ruam mungkin berubah dan melalui pelbagai peringkat, lalu akhirnya menjadi keruping yang tanggal sendiri.
- Simptom lain: Demam, seram sejuk, sakit tekak, sakit otot, bengkak nodus limfa, keletihan, sakit kepala, pedih di dubur atau rektum atau pedih semasa buang air kecil.
- Simptom biasanya mula kelihatan 3 hingga 21 hari selepas sentuhan dengan orang yang menghidap mpox.
- Orang yang sudah mendapat vaksin lengkap terhadap mpox mungkin hanya mengalami gejala ringan.
Langkah waspada
Sementara menunggu keputusan:
- Jangan berhubungan erat atau intim dengan orang lain, termasuk seks dan sentuhan kulit ke kulit.
- Tutup kudis apabila berada bersama orang lain atau haiwan kesayangan. Pakai pembalut atau plaster kalis air dan sarungkan pakaian.
- Pakai topeng muka apabila berada bersama orang lain atau haiwan kesayangan jika mengalami sakit tekak, lesion mulut atau batuk.
- Kerap basuh tangan dengan sabun dan air dan tutup mulut apabila batuk atau bersin.
- Elakkan menyentuh muka atau menggosok mata, terutama jika ada lepuh pada atau berhampiran mata atau tangan.
Jika anda menghidap mpox
Jika keputusan anda positif, seorang pegawai Local Public Health Unit (LPHU - Unit Kesihatan Awam Tempatan) akan menghubungi anda untuk memberi nasihat dan memahami jika ada orang lain yang berisiko. Mereka akan membantu mengenal pasti orang lain yang mungkin telah bertemu anda semasa anda masih berjangkit, untuk memberi amaran tentang risiko menghidap mpox. Mereka akan memberitahu orang yang telah bertemu anda, tanpa menyatakan siapa anda. Dalam keadaan tertentu, kontak rapat anda boleh ditawarkan vaksin untuk mencegah mereka dijangkiti mpox.
Anda mungkin diminta untuk mengubah beberapa aktiviti harian demi mengurangkan risiko penyebaran mpox kepada orang lain. Kadangkala, LPHU mungkin meminta anda tetap berada di rumah dan mengasingkan diri daripada orang lain jika ada risiko lebih tinggi untuk menyebarkan mpox - misalnya, jika anda tidak dapat menutup kudis atau memakai topeng, atau jika menghidap virus monkeypox strain Clade Ib yang sedang merebak di beberapa bahagian Afrika.
Bagi kebanyakan orang yang menghidap mpox, simptom dapat diuruskan dengan menjaga hidrasi (minum air selalu) dan mengambil ubat tahan sakit tanpa preskripsi. Untuk kes yang lebih teruk, doktor mungkin mengesyorkan rawatan lain.
Melindungi orang lain
Sila teruskan mengikuti nasihat yang sama seperti semasa anda diuji, dan juga:
- Jangan berhubungan erat atau intim dengan orang lain, termasuk semua aktiviti seksual.
- Jangan berkongsi barang atau perkakas, termasuk pakaian, cadar, tuala, perkakas makan atau pinggan mangkuk, dan cuci pakaian anda sendiri jika dapat.
- Bekerjalah dari rumah jika dapat, kecuali LPHU mengatakan anda boleh pergi ke tempat kerja.
- Hadkan hubungan rapat dengan ahli keluarga, misalnya dengan berpisah bilik tidur dan bilik mandi jika dapat.
- Bersihkan dan nyahjangkit mana-mana ruang (termasuk bilik mandi), peralatan atau barang yang digunakan bersama, serta-merta selepas digunakan.
- Elakkan bersentuhan dengan orang lain, terutama mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk, seperti orang yang kurang daya imun, wanita hamil atau kanak-kanak kecil.
- Jangan masuk tempat berisiko tinggi, seperti khidmat tadika, rumah penjagaan warga emas, atau pusat rawatan kesihatan yang mungkin ada orang yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk, termasuk untuk bekerja. Jika perlu masuk, berbincang lebih dahulu dengan LPHU (kecuali untuk mendapat rawatan perubatan).
- Jangan bersentuhan rapat dengan haiwan (terutama anjing dan tikus) kerana kemungkinan penularan dari manusia ke haiwan.
- Jangan menderma apa jua tisu manusia, termasuk darah, sel, tisu, susu ibu, air mani atau organ.
- Beritahu pasangan seksual anda baru-baru ini bahawa mereka mungkin terdedah kepada mpox (LPHU boleh membantu memberitahu mereka, jika tidak mahu nama anda diketahui).
Tempoh anda boleh menjangkiti orang
Penghidap mpox mungkin boleh berjangkit dari 4 hari sebelum simptom bermula sehingga semua simptom hilang.
Doktor akan memberitahu anda apabila anda tidak lagi berjangkit.
Anda boleh berjangkit sehingga:
- semua lesion berkeruping, dan
- keruping tanggal dan lapisan kulit segar terbentuk di bawahnya, dan
- jika ada kesakitan rektum (sakit di dalam atau di sekitar dubur), kesakitan itu lega sama sekali.
Pemulihan
Selepas dinyatakan pulih oleh doktor, anda boleh kembali melakukan aktiviti biasa, tetapi patut:
- pakai kondom untuk apa jua aktiviti seksual selama 12 minggu selepas simptom hilang
- jangan menderma darah, sel, tisu manusia, susu ibu, air mani atau organ selama 12 minggu
- bersihkan dan nyahjangkit rumah anda dengan rapi. Ini amat penting jika ada keruping yang mungkin terjatuh di rumah.
Di manakah anda boleh dapatkan bantuan?
- Selalu hubungi ambulans jika berlaku kecemasan: Telefon 000 (Triple Zero)
- Jabatan kecemasan hospital terdekat anda
- GP (doktor) anda
- Nurse-on-Call Tel 1300 60 60 24 (24 jam sehari, 7 hari seminggu) untuk nasihat kesihatan secara sulit daripada jururawat berdaftar
- Melbourne Sexual Health Centre Tel (03) 9341 6200 atau 1800 032 017 atau TTY (bagi kurang upaya pendengaran) Tel (03) 9347 8619
- Thorne Harbour Health (dahulu Victorian AIDS Council) Tel (03) 9865 6700 atau 1800 134 840
- Khidmat kaunseling dan sokongan disediakan melalui GP atau perkhidmatan kesihatan anda. Untuk penerangan lanjut, lihat Mental Health and Wellbeing Hubs.
Untuk penerangan lanjut, lihat Mpox.
This page has been produced in consultation with and approved by: